PETALING JAYA, 25 NOV – PECAT…… Dua ahli PKR termasuk Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Zakaria Abdul Hamid, dipecat kerana terbabit dalam isu rasuah ketika pemilihan parti itu tahun lalu.

Pemecatan Zakaria yang juga Ketua PKR Cabang Bera dan Ismail Dulhadi berkuat kuasa hari ini selepas Lembaga Disiplin PKR menerima bukti kukuh daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pemecatan kedua-ahli ahli parti itu dimaklumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim pada sidang media selepas mesyuarat MPP di sini, hari ini.

“Lembaga Disiplin parti menerima surat daripada SPRM bertarikh 23 Oktober lalu mengenai salah laku rasuah dua ahli parti. SPRM mengesyorkan kepada parti supaya mengambil tindakan terhadap dua individu terbabit.

“Hasil mesyuarat hari ini dan berdasarkan bukti serta perakuan daripada SPRM, kita mengambil keputusan memecat Zakaria yang juga ahli MPP dan seorang ahli biasa iaitu Ismail kerana terbabit dalam isu rasuah yang disiasat SPRM,” katanya.

Mesyuarat turut dihadiri Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Ahmad menjelaskan ketika kejadian itu, Zakaria adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata persiapan kongres nasional parti itu yang dijadual berlangsung pada 6, 7 dan 8 Disember ini berjalan lancar.

Seramai 2,615 perwakilan dari 221 cabang layak menghadiri kongres itu kecuali Cabang Tanjung Manis di Sarawak.

“Tiga minggu lalu, ada ahli parti dari cabang itu mendapatkan perintah mahkamah menghalang mesyuarat cabang itu diadakan.

“Permohonan sebelah pihak itu diperkenankan oleh mahkamah. Pimpinan parti sudah mengemukakan penjelasan kami dan memohon supaya perintah itu diketepikan,” katanya.

Beliau menjelaskan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di Sarawak menetapkan 28 November ini sebagai tarikh pendengaran kes itu.

“Kita mahu semua 222 cabang dapat menghadiri kongres parti dan sebab itu kita mengemukakan penjelasan kepada mahkamah.

“Penjelasan kita berdasarkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan dan Perlembagaan parti yang menetapkan mana-mana ahli tidak boleh membawa perkara parti ke mahkamah,” katanya. – WD MY