IPOH, 25 Nov  – KUASAI…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Usahawan tempatan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu terus menguasai ekonomi digital yang merupakan kuasa baharu dalam penjanaan ekonomi dunia.

Beliau berkata para usahawan jangan hanya menjadi pemerhati, sebaliknya perlu menggunakan ekonomi digital sebagai peluang perniagaan.

“Ekonomi digital di China semakin besar dan gedung-gedung perniagaan (di China) juga semakin lengang kerana ekonomi digital berlaku.

“(Di China) pembayaran tidak menggunakan tunai, tidak guna kad kredit, tidak guna sistem perbankan konvesional, malah menggunakan telefon pintar. Pesanan barangan juga dibuat menggunakan telefon pintar, jadi keadaan ini pasti akan datang ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Jualan Mega 2017 di Bulatan Amanjaya hari ini.

Ahmad Zahid berkata usahawan tempatan perlu bersiap siaga menghadapi keadaan itu dengan mengambil peluang perniagaan dalam talian menerusi Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang diwujudkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya DFTZ merupakan persediaan untuk memudahkan perdagangan melangkaui sempadan dengan lancar dan membolehkan perniaga tempatan mengeksport barangan mereka dengan menjadikan e-dagang sebagai keutamaan.

“Ini merupakan revolusi perindustrian keempat, yang kita tidak boleh tahan daripada berlaku dan ekonomi digital tidak boleh dielakkan. Oleh itu, peniaga harus menerima hakikat dan mengambilnya sebagai satu cabaran baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata syarikat antarabangsa perlu bekerjasama dengan syarikat tempatan agar produk yang dihasilkan oleh usahawan tempatan boleh dijual kepada syarikat multinasional.

“Menerusi kerjasama itu mereka (syarikat antarabangsa) dan vendor tempatan akan untung sekali gus ekonomi negara kita akan berkembang pesat,” katanya.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. – WD MY