BANGI, 28 Feb – Rancang…. Serangan terhadap Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un dirancang dua bulan sebelum kejadian itu kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang Menteri Dalam Negeri berkata, siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kumpulan ejen terbabit sudah melakukan operasi mereka di negara ini dalam tempoh berkenaan.

“Namun, siasatan dan kecekapan PDRM terbukti berdasarkan tangkapan suspek pertama dilakukan dalam tempoh kurang 24 jam manakala suspek kedua kurang 48 jam,” katanya.

Ahmad Zahid juga berkata bahawa pihaknya tidak mempunyai masalah untuk berkongsi sebarang maklumat kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) namun ia akan dilakukan selepas proses siasatan dan pendakwaan selesai dilakukan.

“Kita boleh kongsi maklumat dengan badan perisikan antarabangsa dan boleh diguna pakai oleh PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) selepas PDRM (Polis Diraja Malaysia) menyelesaikan siasatan.

“Siasatan itu mesti konklusif membabitkan bukan hanya PDRM, malah Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kimia, serta Jabatan Penerbangan Awam khususnya MAHB (Malaysia Airport Holding Berhad), yang mempunyai CCTV bagi merakamkan insiden berkenaan.

“Malaysia terbuka berkongsi dengan mereka tetapi mereka harus menghormati sistem dan perundangan kita… sehingga prosedur perundangan berjalan dan dimuktamadkan melalui sistem kehakiman, ” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian penutup Multaqa Pendidikan dan Sosial Majlis Perundingan Islam di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), di sini, hari ini. – WD MY