SEMENYIH, 6 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau
akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari mengenai bentuk tindakan
yang akan diambil berhubung tuduhan kononnya kira-kira US$700 juta (RM2.6 bilion)
daripada dana 1MDB telah disalurkan ke dalam akaun peribadinya.

Perkara tersebut telah dirujuk kepada barisan peguam beliau untuk mendapatkan
nasihat dan bentuk tindakan susulan dari segi perundangan dan sebagainya yang
boleh diambil di dalam serta luar negara.

“Insya-Allah, saya akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari apa
tindakan selanjutnya yang akan saya ambil berhubung dakwaan yang cukup jahat
ini.

“Saya merujuk kepada tuduhan jahat yang telah dibuat terhadap saya kononnya
saya telah songlap atau mencuri US$700 juta daripada 1MBD dan memasukkan duit
tersebut ke dalam akaun peribadi saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Iftar Rakyat Negeri
Selangor bersama Perdana Menteri di Masjid Bandar Rinching, di sini hari ini.

Pada Jumaat lepas, The Wall Street Journal (WSJ) menyiarkan laporan dengan
mendakwa sejumlah hampir US$700 juta dana milik 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) disalurkan ke akaun peribadi perdana menteri.

Bagaimanapun, pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan
laporan WSJ itu dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan
seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik.

Manakala 1MDB juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menyalurkan dana kepada
Najib.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY