KUALA LUMPUR, 30 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan siasatan terperinci dilakukan terhadap insiden bot pelancong karam yang membawa 28 pelancong China dan tiga kru di Sabah bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Najib berkata, beliau memandang serius insiden yang menyebabkan tiga lemas, sementara enam lagi masih hilang, sebahagian besar adalah warga China.

“Saya pandang serius tragedi bot karam di Sabah, dan saya mahu siasatan terperinci dilaksanakan untuk kenal pasti punca kejadian,” katanya menerusi Facebook beliau.

Bagaimanapun, Najib berkata, buat masa ini tumpuan harus diberikan kepada usaha mencari dan menyelamat enam lagi mangsa yang masih belum ditemui.

“Saya menyeru semua pihak untuk sentiasa mengikuti peraturan dan garis panduan (pengendalian bot pelancong) yang telah kerajaan tetapkan bagi keselamatan semua,” katanya. – WD MY