KUALA LUMPUR, 28 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
akan mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016, yang berasaskan situasi sebenar
ekonomi semasa, tengah hari ini.

Bajet 2016 yang telah diubah suai, walaupun perlu, tidak langsung akan
menjejaskan rakyat.

Malah, kerajaan dalam memutuskan langkah-langkah pengubahsuaian, melihat
kepada tindakan untuk mengoptimumkan perbelanjaan, menetapkan semula keutamaan
projek dan menangguhkan sebahagian perbelanjaan pembangunan.

Ia akan mengelak daripada melaksanakan langkah penjimatan, dan yang lebih
penting, skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan diteruskan memandangkan ia
merupakan bantuan langsung kepada rakyat dan mempunyai kesan pengganda di
kawasan bandar dan luar bandar.

Ketika Najib yang juga Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2016 pada 23 Okt
2015, belanjawan tahun ini adalah berdasarkan andaian harga minyak mentah pada
US$48 setong.

Sejak itu, senario ekonomi telah berubah dengan harga minyak terus merosot,
sekali gus bermakna pendapatan kerajaan yang lebih rendah.

Hari ini, harga minyak mentah mencecah kira-kira US$30 setong, kejatuhan
mendadak sejak bajet itu dibentangkan.

Bagaimanapun, bajet itu perlu diselaraskan sewajarnya bagi menangani
peningkatan kos sara hidup, merangsang kegiatan pelaburan serta mengukuhkan
imbangan pembayaran negara.

Ketika berucap pada perhimpunan khas Kementerian Kewangan awal bulan ini,
Najib menyuarakan mengenai pentingnya berterus terang dan menyatakan 2016 akan
menjadi tahun yang mencabar.

“Saya tidak mahu berkata sesuatu yang baik kepada rakyat dengan tidak
menyatakan keadaan sebenar. Biar kita berterus terang dan jujur dan menyatakan
tahun ini akan menjadi tahun yang mencabar,” katanya.

Najib juga menegaskan cabaran pada 2016 berkait dengan keadaan pasaran
kewangan berikutan keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat untuk
mengembalikan kadar faedah pada paras normal, yang menjejaskan aliran modal di
rantau ini, termasuk Malaysia, di samping mengukuhkan dolar US.

Cabaran 2016 memerlukan tindakan yang lebih responsif dan tegas, bukan
sahaja oleh Kementerian Kewangan, malah kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan
serta orang ramai secara menyeluruh.

Kerajaan telah mengurangkan kebergantungan ke atas hasil minyak dan telah
memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan bagi meningkatkan tabungan
kerajaan.

Ekonominya yang pelbagai, di samping rasionalisasi subsidi telah membantu
menyumbang kepada pendapatan kerajaan.

Permintaan domestik yang kukuh serta pelaburan swasta tempatan yang lebih
tinggi dan sumbangan daripada sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian selain
sektor perkhidmatan, termasuk pelancongan, turut membantu tabungan negara.

“2016 akan mejadi tahun yang mencabar dan kita perlu menguruskan sumber kita
dengan cekap dan pada tahap optimum.

“Kita perlu bersedia dan melaksanakan kaedah terbaik bagi memastikan ekonomi
kita kekal mampan,” kata Perdana Menteri. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY