SEREMBAN, 25 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak bersama-sama
ribuan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat menghadiri majlis rumah
terbuka Aidilfitri yang dihoskan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di
dirumahnya di Kampung Tanjung, Rantau, dekat sini, hari ini.

Perdana Menteri dengan diiringi oleh anak perempuanya, Nooryana Najwa, tiba
pada kira-kira 2 petang dan disambut oleh Mohamad serta beberapa anggota Kabinet
dalam suasana penuh meriah.

Turut hadir Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku
Munawir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek dan
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah raya, makanan tradisional dan
moden seperti kerbau masak lemak cili api, kari kepala ikan, ayam goreng rempah,
satay, apam balik goreng dan cendol.

Cuaca yang baik menyerikan lagi majlis yang turut disajikan dengan
persembahan caklempong dan nyanyian.

Selesai menikmati juadah, Najib kemudian beramah mesra, bersalaman, selfie
dan mengambil gambar bersama masyarakat sebelum meninggalkan majlis kira-kira
pukul 3 petang.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY