HULU SELANGOR, MAC 7:BN TEPATI….Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata Rakyat perlu meletakkan kepercayaan penuh kepada Barisan Nasional (BN) untuk terus kekal mentadbir negara bagi menjamin dan membel a nasib mereka.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, BN membuktikan janji yang dibrikan akan ditunaikan demi kepentingan dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau terus menyentuh kesilapan apabila salah memilih parti dalam pilihan raya. Ini terjadi apabila rakyat mendapat ‘janji kosong’ yang tidak akan dapat ditunaikan.

“Kita (BN) sentiasa menunaikan janji. Kita berharap (rakyat) meletakkan kepercayaan kepada kerajaan yang sentiasa menepati janji.

“Jika meletakkan kepercayaan kepada parti pembangkang, inilah yang akan berlaku. Kita kalau termakan kata dan janji kosong pembangkang, ini yang akan berlaku bertahun-tahun. Janji tinggal janji, tidak ada apa yang ditunaikan.

“Kita mesti letakkan kepercayaan kepada parti dan kerajaan yang membela nasib serta masa depan kita,” katanya ketika melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Rasa di sini, hari ini.

Terdahulu, Najib menerima memorandum persefahaman (MoU) daripada penduduk setempat yang memohon kerajaan memasang sistem lampu isyarat dan melebarkan jalan di persimpangan masuk ke pekan Rasa, susulan simpang berkenaan sering berlaku kemalangan.

“Sebagai Perdana Menteri, saya luluskan peruntukan RM400,000 untuk tujuan itu dan menyerahkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk dilaksanakan dengan segera.

“DAP (memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Bharu) janji hendak buat tetapi sudah empat tahun tidak buat. Hanya janji kosong, ini beza dengan kita, kita tunaikan janji,” katanya.

Sementara itu Perdana Menteri berkata lawatan beliau ke SJKC Rasa adalah untuk melihat janji BN ditunaikan selepas memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor menerusi pilihan raya kecil (PRK) pada 25 April 2010.

“Menang saja calon BN (Kamalanathan) di Parlimen ini pada 25 April 2010, pada 28 April saya mengumumkan sumbangan RM3 juta untuk SJKC Rasa. Ini bukti kerajaan BN menepati janji,” katanya.