LONDON, 28 MAC – LETAK JAWATAN…… Perdana Menteri Britain, Theresa May, semalam, memaklumkan beliau akan meletak jawatan, jika perjanjian pemisahan dengan Kesatuan Eropah (EU) yang dua kali ditolak diluluskan dalam cubaan ketiga.

Perkembangan itu dilihat sebagai strategi terakhir May memujuk pemberontak dalam parti Konservatif untuk memberikan sokongan, kata salah seorang pembuat dasar parti terbabit.

“May akan meletak jawatan, jika perjanjian lulus. Mungkin beliau meletak jawatan, selepas persetujuan dicapai,” kata pembuat dasar parti terbabit tanpa mendedahkan namanya.

“Walaupun May tidak meletakkan tarikh, ia memberi gambaran bahawa beliau akan berundur ‘tidak lama lagi’,” kata seorang lagi pembuat dasar Konservatif.

“May memaklumkan beliau akan menyerahkan tugas kepada pengganti untuk fasa Brexit seterusnya termasuk hubungan masa depan dengan EU dan pelbagai perjanjian perdagangan lain,” kata pembuat dasar ketiga daripada parti Konservatif.

Ramai pemberontak dalam parti Konservatif mahu pemisahan lebih lancar daripada EU berbanding perjanjian May, mereka menjelaskan hanya akan menyokongnya, jika beliau memberikan komitmen dan tarikh untuk meletak jawatan. – WD MY