LONDON, 5 Jun – Banteras……. Perdana Menteri Britain, Theresa May, mahu negara itu bertindak tegas menghapuskan daesh selepas insiden merempuh pejalan kaki di London Bridge dengan van meragut tujuh nyawa.

Selain itu, tikaman rambang turut dilakukan di bar berhampiran kawasan itu.

Selepas serangan ketiga militan di Britain tidak sampai tiga bulan, May berkata pilihan raya Khamis ini akan diteruskan.

Namun, beliau mencadangkan pemantauan dibuat ke atas ruang siber selain menegaskan Britain sudah lama bertoleransi terhadap pelampau.

“Sudah tiba masanya kita katakan, cukuplah. Kita tidak boleh dan jangan berpura-pura dengan mengatakan kehidupan diteruskan seperti biasa,” katanya di pejabatnya di Downing Street, yang mengibarkan bendera Britain separuh tiang.

Militan Daesh yang semakin kehilangan wilayah di Syria dan Iraq kepada tentera pakatan diketuai Amerika Syarikat mendakwa melancarkan serangan itu.

Dalam kejadian itu, seorang warga Perancis dan seorang rakyat Kanada antara yang terbunuh manakala 48 lagi cedera.

Polis menembak mati tiga penyerang di pasar Borough berhampiran London Bridge dalam masa lapan minit selepas menerima panggilan kecemasan sejurus selepas jam 10.00 malam waktu tempatan. – WD MY