JEDDAH, 7 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba dan
diberi sambutan rasmi oleh perwakilan Arab Saudi yang diketuai Putera Mahkota
Arab Saudi, Putera Mohammed bin Naif al-Saud di Lapangan Terbang Antarabangsa
King Abdulaziz al-Saud di sini.

Protokol sedemikian merupakan penghormatan buat pemimpin Malaysia yang hanya
diberikan kepada pemimpin tertentu.

Beliau yang mempunyai jadual ketat di Arab Saudi tiba dengan penerbangan
khas pada pukul 9.13 malam (2.13 pagi Ahad waktu Malaysia).

Najib yang ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor sedang dalam rangka
lawatan rasmi tiga hari atas jemputan Raja Salman Abdulaziz al-Saud.

Jemputan itu menandakan hubungan erat antara Arab Saudi dan Malaysia.

Yang turut menyertai rombongan perdana menteri ialah Menteri Luar Datuk Seri
Anifah Aman, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri
Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharum.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan pada majlis sambutan tersebut.

Najib dan anggota rombongan kemudiannya menghadiri majlis bankuasi diraja di
Istana As-salam di sini yang diraikan Raja Salman.

Awal Ahad, Najib akan melawat stesen Mashaaer al-Mugaddasah (Laluan Selatan)
projek Makkah Metro yang turut melibatkan syarikat Prasarana Malaysia Berhad
(Prasarana).

Prasarana memenangi kontrak mengendali operasi dan penyelenggaraan fasa
pertama sistem Pengangkutan Awam Makkah (Makkah Metro) itu.

Menjelang tengah hari, perdana menteri akan menghadap Raja Salman di Istana
As-Salam.

Pertemuan itu mengukuhkan lagi hubungan sedia terjalin antara kedua-dua
negara.

Ia merupakan pertemuan rasmi pertama antara kedua-dua pemimpin sejak Raja
Salman dimahkotakan awal tahun ini.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY