KUALA LUMPUR, 30 Mac – Bertemu…. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi ini meluangkan masa bertemu tiga mangsa culik kumpulan militan Abu Sayyaf yang baru dibebaskan selepas ditahan kumpulan itu, Julai lalu.

Najib meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama tiga mangsa berkenaan yang turut disertai anggota keluarga mereka di kediaman perdana menteri di sini, kira-kira jam 8.15 pagi tadi.

Tiga warga Malaysia itu – Jumadil Rahim, 24; Mohd Ridzuan Ismail, 33, dan Fandy Bakran, 27, – diselamatkan pasukan keselamatan Filipina dalam satu operasi di kawasan umum Punay (Publicion) Panglima Estino, Filipina pada jam 11.30 malam Ahad lalu.

Turut hadir Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang turut menyertai sesi perbualan, bersarapan pagi dan mendengar kisah mangsa yang mengimbas detik malang insiden penculikan berkenaan.

Suasana pilu turut dirasai apabila ketiga-tiga mangsa, yang juga nelayan, dipertemukan dengan anggota keluarga masing-masing.

Kesemua anggota keluarga tidak dapat menahan tangisan apabila dapat memeluk erat mangsa setelah lebih lapan bulan ditahan kumpulan pengganas berkenaan.

Ketiga-tiga mangsa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira jam 8 malam semalam.

Pada Isnin lalu, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut bertemu dan mendengar sendiri cerita dua lagi nelayan yang turut menjadi mangsa culik, Tayudin Anjut, 46, dan Abdul Rahim Summas, 63.

Pada 18 Julai lepas, kelima-lima mereka diculik kumpulan militan itu dan kapal tunda Serudong 3 yang mereka naiki ditemui dalam keadaan enjin masih hidup di perairan Dent Haven, Lahad Datu. – WD MY