KUALA LUMPUR, 11 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di perkarangan Masjid Jamek Kampung Baru di sini.

Sebanyak 50 periuk digunakan untuk memasak bubur dan lebih 9,000 paket bubur diagihkan kepada orang ramai.

Ini merupakan tahun kesebelas Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menyampaikan sumbangan peribadi bubur lambuk kepada orang ramai.

Terdahulu perdana menteri menunaikan solat Asar berjemaah yang diimamkan Azizi Ab Hamid.

Najib kemudian meninjau Bazar Ramadan Kampung Baru dan beramah mesra dengan para peniaga dan orang ramai.

Turut mengiringi Najib ialah Anggota Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Pembangunan Kampung Baru, Datuk Affendi Zahari dan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Jamek, Datuk Idris Shaari Mat Deris. – WD MY