BESUT, 28 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
dijangka melancarkan Program Syahadah sempena Majlis Berbuka Puasa yang akan
diadakan di Sekolah Menengah Imtiaz di Bukit Keluang di sini, 6 Julai depan.

Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata
beliau akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Semasa majlis itu, Najib akan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 1,200
kanak-kanak miskin, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) dalam kawasan Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kota Putera.

Perdana Menteri akan menyampaikan seunit komputer dan pencetak kepada
setiap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) daerah
Besut sebelum berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib di situ, katanya
kepada media di sini selepaskan menyampaikan sumbangan raya kepada 120 anak
yatim di Masjid As Solihin Padang Luas di sini hari ini.

Muhammad Pehimi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan
Wanita dan Masyarakat negeri berkata Najib dan isteri, dan tetamu jemputan yang
lain termasuk Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, akan
menyertai penduduk Besut berbuka puasa di halaman sekolah itu.

Najib dan Rosmah serta Ahmad Razif dan isteri akan bersama lebih 1,000
jemputan menunaikan solat Isyak dan tarawih di Masjid Ulul Albab, Seberang
Jerteh sebelum berlepas pulang ke ibu negara dari pangkalan Tentera Udara Diraja
Malaysia Gong Kedak.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY