YAN, MAC 26:PM…. Datuk Seri Najib Razak memulakan program dua hari di Kedah, hari ini dengan bersarapan bersama masyarakat setempat di Medan Selera Pantai Murni di sini.

Perdana Menteri tiba di medan selera itu jam 10.15 pagi dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Perdana Menteri meluangkan masa mendengar taklimat ringkas disampaikan Jamir Khir mengenai perkembangan pembinaan sambungan Lebuhraya PLUS Gurun ke Pulau Bunting, Dewan Orang Ramai Taman Gurun Jaya dan Jambatan Jambatan Bukit Choras.

Sementara itu, dalam ucapan ringkas, Najib berkata beliau tidak menyangka menerima sambutan yang meriah sehingga medan selera ini sesak.

Beliau turut melahirkan rasa gembira dan memaklumkan sememangnya berhasrat untuk bersarapan dengan penduduk dan nelayan Parlimen Jerai di Pantai Murni.

“Saya rasa seronok dapat bersarapan peknga (lempeng), gulai ikan termenung dan air nira yang terbaik di Malaysia.

“Sebelum datang sini, pelbagai bantuan diberi termasuk pembinaan Masjid Terapung Daerah Yan yang bernilai RM18 juta. Parlimen Pekan pun tiada masjid sebegini yang bertaraf masjid negeri.

“Hangpa (anda) semua dah dapat… tapi saya tidak dapat lagi. Nanti bila sudah raya (Pilihan Raya Umum), jangan lupa saya,” katanya dalam nada berseloroh.

Selepas itu, Perdana Menteri bergerak ke Majlis Perasmian Perumahan Nelayan Muafakat Kedah di Kampung Nelayan, Tanjung Dawai, dekat sini.

Pada sebelah petang, Najib akan menghadiri majlis perjumpaan bersama Masyarakat Siam di Perkampungan Chanding, Padang Terap.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO akan menghadiri perjumpaan bersama kepemimpinan UMNO Bahagian Kubang Pasu di Dewan Wawasan Jitra, malam ini.-MY WD