KUALA LUMPUR, 2 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir untuk menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang telah diperkenalkan semenjak tahun 1991.

Menurut Najib dalam ucapannya menggesa komuniti perniagaan supaya memberi lebih tumpuan kepada produktiviti dan inovasi dalam menjalankan organisasi mereka.

Perdana Menteri berkata kedua-dua elemen itu perlu diberi keutamaan paling tinggi dalam menjalankan organisasi kerana ia merupakan kunci kejayaan dalam persekitaran ekonomi yang kini sangat kompetitif.

“Setiap tahun, beberapa organisasi antarabangsa seperti Bank Dunia, Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan Institut Pembangunan Pengurusan Switzerland menerbitkan laporan daya saing global, yang membandingkan keupayaan negara untuk bersaing di pasaran antarabangsa.

“Saya berbangga untuk mengatakan bahawa ketiga-tiga organisasi ini telah mengeluarkan laporan yang menunjukkan bahawa usaha kita untuk meningkatkan daya saing telah memberi kesan,” kata beliau.

Tambah Najib, semua peningkatan ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa inisiatif yang dilaksanakan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), bersama-sama dengan kerjasama sektor awam dan swasta melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH).

“Peningkatan Malaysia daripada segi daya saing global merupakan berita yang amat dialu-alukan. Bagaimanapun negara-negara lain juga, sedang berusaha memperbaiki kedudukan mereka,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menggalakkan syarikat-syarikat tempatan mengambil kesempatan sepenuhnya daripada pelbagai peluang pasaran ASEAN, yang hanya menunggu untuk direalisasikan.

“Kita hidup dalam pasaran serantau dengan 620 juta penduduk – satu jumlah yang jauh lebih besar daripada Kesatuan Eropah.

“Sahutlah cabaran untuk bergerak melangkaui sempadan negara, dan saya memberi jaminan yang kerajaan akan memberi sokongan yang diperlukan untuk membina dan berkembang di rantau yang semakin cergas ini,” kata beliau.

Walaupun persekitaran ekonomi global terus mencabar tahun ini, Najib kekal optimis bahawa Malaysia boleh mencatat pertumbuhan ekonomi yang stabil antara 4.5 dan 5.5 peratus, berdasarkan asas-asas kukuh ekonomi negara dan kerjasama komuniti perniagaan tempatan.

Sementara itu, Najib berkata, AKI mencerminkan matlamat bersama sektor kerajaan dan swasta untuk memastikan Malaysia terus memain peranan penting dalam ekonomi global.

“Pencapaian mereka yang diberi penghargaan malam ini mewakili cita-cita dan aspirasi bukan sahaja mereka yang berkepentingan tetapi juga semua rakyat Malaysia,” tambahnya.

Siri AKI yang bermula pada 1991 diperkenalkan pada masa itu Kementerian Perdagangan dan Industri dengan matlamat mengiktiraf syarikat berprestasi cemerlang dan menggalakkan syarikat untuk terus meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan mereka.

Sejak beberapa tahun lalu, anugerah itu mendapat reputasi sebagai program pengiktirafan korporat utama negara.

Di antara pemenang AKI 2014 ialah Sunway Integrated Properties Sdn Bhd, yang menerima Anugerah Perdana Menteri, Petzl Manufacturing Sdn Bhd memenangi Anugerah Harapan Terbaik manakala Anugerah Sektor Pengeluaran (Kategori 1) diraih oleh PHN Industry Sdn Bhd. – Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY