BAITULMAQDIS, 20 Ogos – Berbincang….. PM Israel, Benjamin Netanyahu akan ke Russia, Rabu ini untuk bertemu Presiden Vladimir Putin bagi membincangkan isu perang di Syria.

Kedua-dua pemimpin akan bertemu di bandar peranginan Sochi di Laut Hitam untuk membincangkan perkembangan terbaru di rantau itu.

Pertemuan berkenaan bagi membolehkan kedua-dua negara mengelakkan pertembungan antara tentera udara masing-masing, ketika Russia menjalankan serangan udara menyokong rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Israel cuba mengelak daripada terjerumus ke dalam perang saudara negara jirannya itu, tetapi turut menjalankan serangan udara untuk menghalang penghantaran senjata kepada militan Hezbollah di Lubnan yang berjuang bersama tentera Assad.

Tentera Israel menjalankan hampir 100 serangan, sejak lima tahun lalu terhadap konvoi yang membawa senjata kepada beberapa kumpulan militan di Syria dan di tempat lain, kata bekas komander tentera udara, Amer Eshel kepada akhbar Haaretz, Khamis lalu.

Mac lalu, Kementerian Luar Russia memanggil duta Israel disebabkan beberapa serangan udara hampir dengan tentera Moscow berhampiran bandar bersejarah Palmyra, Syria.

Ketika itu, Menteri Risikan Israel, Yisrael Katz mengakui Moscow tidak dimaklumkan lebih awal mengenai serangan Israel di Syria walaupun satu talian disediakan sejak tahun lalu untuk mengelak pertembungan antara tentera kedua-dua negara. – WD MY