KUALA LUMPUR, FEB 18 – KAJIAN…Menerusi kajian firma¬†penyelidik media sosial, Politweet menunjukkan Barisan Nasional (BN) dijangka terus menguasai Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Dalam temu bual bersama portal Worldfuture TV (WFTV), jurucakap Politweet berkata, pengguna media sosial di Johor lebih tertarik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tidak mendatangkan impak besar di Johor pada PRU-14.

“Secara asasnya, dua pertiga pengguna media sosial di Johor tidak menunjukkan minat terhadap Dr Mahathir di halaman dan paparan Facebook disukai mereka.

“Walaupun ada liputan meluas media mengenai Dr Mahathir dan pencalonannya sebagai Perdana Menteri, ia bukan petanda baik untuk Pakatan Harapan,” katanya seperti dilaporkan portal berkenaan, hari ini.

Peratusan sehingga Disember tahun lalu menunjukkan hanya 13.73 peratus pengguna Facebook di Johor menunjukkan minat terhadap Dr Mahathir berbanding 66.67 peratus yang cenderung kepada Najib.

Bagaimanapun, firma itu menyifatkan Johor bukan negeri yang memiliki kemungkinan berubah tangan pada PRU-14.

Sementara itu, jurucakap Politweet dilaporkan berkata, PAS tidak mampu mencabar atau menggugat UMNO pada PRU-14.

“Statistik Facebook menunjukkan PAS memiliki capaian paling lemah berbanding PKR dan DAP.

“Bagaimanapun, seperkara yang ditunjukkan penyokong PAS ialah mereka tidak begitu aktif memuat naik status mengenai parti itu di Facebook atau Twitter,” katanya. – MY WD