BISHKEK, 12 April – Letak Jawatan………. Perdana Menteri Kyrgyzstan Temir Sariyev dan anggota Kabinetnya meletak jawatan hari ini selepas satu Suruhanjaya Parlimen menuduhnya melakukan rasuah, tindakan mengetengahkan ketegangan di antara puak berbeza penyokong Presiden Almazbek Atambayev.

“Pertengkaran, khabar angin dan gosip menjejaskan keseimbangan dalam kerajaan. Tugas kerajaan terhenti pada masa yang sukar,” kata Sariyev kepada mesyuarat Kabinet yang terbuka kepada media.

Satu suruhanjaya diwujudkan parlimen bekas republik Soviet itu berkata minggu lalu, kerajaan melanggar undang-undang, menuduhnya menyeleweng tender pembinaan jalan berharga AS$100 juta (RM388.06 juta) bagi memastikan ia diberi kepada sebuah firma China yang tidak memiliki lesen diperlukan.

Sariyev, 52, yang menafikan salah laku itu, meminta Atambayev memecat Menteri Pengangkutan Argunbek Malabayev, namun presiden enggan berbuat demikian, mengatakan perdana menteri tidak menyediakan alasan perundangan untuk pemecatan itu.

Hari ini, Atambayev menerima peletakan jawatan Sariyev, yang memerintah kerajaan negara Asia Tengah sejak Mei lalu, secara automatik menyebabkan pembubaran keseluruhan kabinet. – Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY