LANGKAWI, 2 Jun – SUKAR….. Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengakui bahawa kerajaan pimpinannya sukar menunaikan Janji 100 Hari Pakatan Harapan yang menjadi manifesto gabungan itu berdasarkan status kewangan negara ketika ini.

Walaupun pernah membuat janji tersebut kepada rakyat ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kata beliau, ia bagaimanapun tidak bersandarkan kepada keadaan kewangan negara ketika ini yang disifatkan sebagai terlalu buruk.

“Kemenangan ini (Pakatan Harapan) membawa beban yang amat besar kerana kita membuat pelbagai janji kepada rakyat supaya kehidupan rakyat menjadi lebih bahagia daripada sebelumnya.

“Kita membuat janji berasaskan kepada pengetahuan yang tidak mencukupi kerana kita tidak tahu setakat mana kerosakan yang berlaku dan hari ini kita dapati bahawa walaupun kita sudah berbuat janji dalam jangkamasa 100 hari kita akan tunaikan 10 perkara tetapi malangnya perkara-perkara ini tidak mudah ditangani.

“Sebab itu kita terpaksa mengakui bahawa kita mungkin akan mengambil masa lebih daripada 100 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa di Masjid Al-Hana, Kuah malam tadi.

Akhbar melaporkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng turut mengakui bahawa kerajaan Pakatan Harapan mungkin terpaksa menangguhkan 10 inisiatif yang dijanjikan kerana kekangan kewangan.

Kata Guan Eng, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara beberapa inisiatif tersebut sehingga keadaan kewangan negara bertambah baik. – WD MY