KUALA LUMPUR, 12 Dis – SERTAI….. Sidang Kemuncak GECommunity 2017 (GECommunity) yang berlangsung mulai hari ini disertai lebih 13,000 peserta daripada 89 negara.

Sidang kemuncak edisi kedua penganjurannya itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, sebentar tadi.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Selain merasmikan GECommunity, Perdana Menteri turut menyampaikan anugerah Global Blue Ocean Shift.

GECommunity dianjurkan bertujuan memangkin pertumbuhan dan pembangunan gerakan usahawan global menerusi ekosistem rangka kerja yang meluas merangkumi aspek pembiayaan serta perkongsian pengalaman global.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, selari dengan tema ‘Merangka Masa Hadapan’, sidang kemuncak tahun ini memberi tumpuan kepada pihak berkepentingan berbeza dalam ekosistem keusahawanan.

“Ia bagi mewujudkan wacana baharu dalam pembangunan keusahawanan terutama dalam suasana teknologi distruptif dan perubahan global untuk membantu memacu pertumbuhan ekonomi kukuh,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan GECommunity.

GECommunity turut disertai 20 penceramah dan sesi panel termasuk 100 makmal GEC.

Kira-kira 360 pempamer terdiri daripada sektor swasta dan awam mengadakan pameran selain buat pertama kali turut disertai daripada pempamer negara asing termasuk Korea Selatan, Jepun, China, Taiwan dan Norway. – WD MY