TAWAU, 9 April – JASA….. Datuk Seri Najib Tun Razak menghargai jasa bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, Allahyarham Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan atas nilai-nilai baiknya sebagai seorang pemimpin.

Menzahirkan perasaan sedih atas pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas itu, bulan lalu, Perdana Menteri menyifatkan Allahyarham sebagai pemimpin yang banyak menabur jasa kepada rakyat khususnya di Tawau.

Beliau berkata kehilangan Tawfiq sebagai pemimpin dan sahabat amat dirasai.

“Kita akan kenang segala jasa beliau dan mudahan bacaan al-Fatihah untuknya, segala pahala itu Allah akan  mencucuri ke atas roh Allahyarham,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau Ketujuh (FKAT) 2018 di Dataran Majlis Perbandaran Tawau malam tadi.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Terdahulu, Musa ketika berucap, berkata penganjuran FKAT adalah atas idea dan ilham Allahyarham yang datang berjumpa dengannya bagi mengemukakan rancangan tersebut.

“Tawfiq berkata Tawau belum ada pesta festival lagi dan festival ini (jika dilaksanakan) boleh memacu ekonomi Tawau seperti FKAT.

Musa berkata hasrat murni Tawfiq sebagai seorang pemimpin untuk penganjuran FKAT itu juga kerana mahu mengeratkan silaturahim sesama rakyat.

“Allahyarham ingin melihat penduduk Tawau bersatu padu memajukan Tawau supaya satu dunia tahu Tawau ini di mana dan ekoran itu saya meluluskan permohonan beliau,” katanya sambil mengajak semua hadirin membacakan al-Fatihah untuk Tawfiq.

Musa terus menzahirkan penghargaan kepada Tawfiq sebagai tokoh pemimpin berjiwa besar, berdedikasi, bertanggungjawab serta amanah dengan tugas didokong sehingga akhir hayatnya berkhidmat untuk rakyat.

Tawfiq meninggal dunia pada 14 Mac lalu akibat komplikasi usus di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, pada usia 56 tahun. – WD MY