PUTRAJAYA 17 Jan – PERKASAKAN…. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, kerajaan beriltizam untuk sentiasa meninggikan peranan dan martabat wanita di dalam negara agar terus berada ditahap yang tinggi.

Najib berkata, walaupun rekod pencapaian wanita sangat baik namun beliau masih belum berpuashati dan mahu usaha tersebut diteruskan lagi.

Beliau berkata, negara-negara yang mengetepikan peluang untuk kaum wanita semakin sedar bahawa mereka sukar mencapai kejayaan tanpa penglibatan wanita.

“Negara yang selama ini tidak menunjukkan komitmen mereka untuk memperkasakan wanita sudah pun sedar kalau wanita tidak disampingkan maka negara berkenan tidak mungkin berjaya.

“Apatah lagi dalam era globalisasi industri 4.0 peranan wanita semakin penting dan sebab itulah kita melihat peranan wanita lebih-lebih lagi pada tahun ini,” katanya ketika berucap melancarkan logo dan menjenamakan Tahun Memperkasa Wanita 2018 (TMW18) di Bangunan Perdana Putra, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Slogan `Wanita Gemilang’ dipilih sebagai slogan bagi TMW18 yang bertepatan dengan hasrat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memastikan inklusiviti terhadap wanita selain berdaya saing di peringkat global.
 – WD MY