KUALA LUMPUR, 9 Jan – TIBA…. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selamat tiba di Riyadh malam tadi bagi lawatan kerja ke Arab Saudi atas jemputan Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.

Ketibaan Najib disambut Gabenor Riyadh, Putera Faisal bin Bandar bin Abdulaziz Al Saud.

“Alhamdulillah, saya telah selamat tiba di Riyadh untuk lawatan kerja sebentar tadi dan disambut oleh Putera Faisal bin Bandar bin Abdulaziz Al Saud, Gabenor Riyadh,” katanya di Twitter rasminya.

Najib diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta pegawai kanan Pejabat Perdana Menteri akan berada di Arab Saudi sehingga Jumaat ini.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, Najib dijadual menghadap Raja Salman dan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman Abdulaziz Al Saud di Riyadh.

Pertemuan itu akan memberikan peluang kepada kedua-dua negara untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai isu-isu dua hala, pelbagai hala, serantau serta antarabangsa terutamanya tindakan-tindakan susulan ke atas isu yang dibincangkan dan dipersetujui sewaktu lawatan negara yang bersejarah Raja Salman ke Malaysia pada Mac tahun lalu.

Isu itu merangkumi kerjasama ekonomi, pelaburan, hal ehwal Haji dan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Putrajaya. – WD MY