TEHRAN, 15 OKT – KUNJUNGI….. Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dilaporkan mengunjungi Iran semalam, dalam misi sebagai orang tengah bagi menyelesaikan isu membabitkan Tehran dan Riyadh, selain mengurangkan ketegangan di rantau Teluk.

Menurut laman web rasminya, Imran mengadakan perbincangan dengan Presiden Hassan Rouhani di istana presiden, sebelum bertemu dengan pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Imran dijangka mengunjungi Arab Saudi esok.

“Tujuan utama kunjungan ini bertujuan mengelakkan sebarang konflik antara Arab Saudi dan Iran.

“Walau apa pun yang berlaku, kita tidak boleh membenarkan konflik ini tercetus, kerana kita tahu, Encik Presiden, terdapat beberapa kepentingan yang mahu ia berlaku,” katanya kepada Rouhani.

Pada masa sama, Imran mengakui bahawa ia adalah satu isu yang kompleks yang boleh diselesaikan menerusi perbincangan, namun, memberi amaran bahawa sebarang konflik antara Iran dan Arab Saudi boleh menyebabkan bencana kepada dunia.

Pakistan mempunyai hubungan rapat dengan Riyadh, dan ketika ini, lebih 2.5 juta rakyatnya tinggal serta bekerja di Arab Saudi.

Bagaimanapun, pada masa sama, ia masih mengekalkan hubungan baik dengan Iran dan sering mewakili kepentingan konsulat Tehran di Amerika Syarikat.

Ia adalah kunjungan kedua Imran ke Iran tahun ini, dan kedua-dua negara berkongsi sempadan kira-kira 1,000 kilometer.

Selain menekankan bahawa kunjungan ke Tehran dan Riyadh adalah inisiatif Pakistan, Imran berkata, beliau juga bakal bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi menyelaras dialog antara Iran dan Washington.

Sementara itu, Khamenei dalam laman web rasminya berkata, negara itu tidak mengamalkan sikap permusuhan dengan negara jirannya, tetapi memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan peperangan, bahawa mereka akan kesal dengan tindakan itu. – WD MY