CYBERJAYA, 2 Mac – Capai Tahap Optimum….. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memantapkan lagi usaha untuk memastikan kutipan cukai berada pada tahap optimum tahun ini.

Najib berkata, keengganan mereka yang layak untuk membayar cukai dan kegiatan ekonomi yang mengelak cukai, akan menyumbang kehilangan pendapatan besar kepada negara, sekali gus memberi kesan kepada usaha pembangunan negara dan perkhidmatan kepada rakyat.

“Justeru, kita perlu lakukan apa yang termampu, selain memastikan ‘kelompongan’ (kehilangan hasil) itu dapat dikecilkan dan dihapuskan sama sekali melalui kutipan cukai yang lebih cekap, selain ‘element of fear’ dalam kalangan mereka yang tidak membayar cukai, bahawasanya mereka tidak terlepas daripada LHDN.

“Kalau ada elemen seperti ini dan tindakan yang kita lakukan bersungguh-sungguh, saya percaya budaya membayar cukai akan menjadi lebih mantap, bukan hanya sebagai tanggungjawab sosial dan moral tetapi juga dituntut agama,” katanya ketika merasmikan ‘Majlis Hasilian Bersama Perdana Menteri’ sempena Hari Hasil Ke-21 LHDN di sini, malam tadi.

Hadir sama, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah serta Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata LHDN mampu mencapai sasaran kutipan RM127.7 bilion pada tahun ini, selepas berjaya mengutip RM114 bilion pada tahun lalu.

Perdana Menteri turut memuji peranan LHDN dalam menguruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mencecah 8.3 juta permohonan pada tahun ini, peningkatan 13.47 peratus berbanding tahun lalu. – WD MY