KUALA LUMPUR, 27 April – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak yang merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN kali ke-26 pagi ini, menggesa
kumpulan serantau itu supaya lebih berpaksikan rakyat, dengan harapan
semua rancangan bersepadunya memberi manfaat kepada 635 juta penduduk.

Ia juga merupakan tempoh yang penting untuk ekonomi serantau itu
menyepadukan usaha untuk mewujudkan komuniti ASEAN menjelang akhir tahun semasa
Malaysia meneraju kumpulan 10 negara anggota itu.

Majlis perasmian di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada
9 pagi itu dihadiri kesemua 10 pemimpin ASEAN, serta Setiausaha Agung ASEAN, Le
Luong Minh.

Para pemimpin berkenaan terdiri daripada Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei
Darussalam, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Presiden Indonesia Joko Widodo,
Perdana Menteri Laos Thongsing Thammavong, Presiden Myanmar U Thein Sein,
Presiden Filipina Benigno S.Aquino III, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien
Loong, Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha dan Perdana Menteri
Vietnam Nguyen Tan Dung.

Selaku Pengerusi, tumpuan utama Malaysia ialah untuk memastikan langkah dan
inisiatif utama penubuhan Komuniti ASEAN diselesaikan, termasuk proses
penyepaduan berterusan pasca 2015.

Malaysia mengambil alih giliran sebagai Pengerusi ASEAN mulai 1 Jan, 2015
daripada Myanmar.

ASEAN dibentuk pada 1967 oleh Malaysia, Singapura, Filipina, Thailand dan
Indonesia, dan kemudiannya disertai Brunei Darussalam, Vietnam, Laos, Myanmar
dan Kemboja.

Sidang kemuncak di KLCC berlangsung dalam sesi pleno, diikuti pemukiman di
Langkawi pada sebelah petang.

Najib juga dijadual mengadakan sidang media selepas sesi pleno berakhir.
Selepas sidang media, semua pemimpin akan berlepas ke Langkawi untuk sesi
pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN ke-26.

Isu Laut China Selatan juga dijangka dibincangkan pada mesyuarat peringkat
tertinggi.

Jadual hari ini termasuk pemeteraian perjanjian penubuhan sekretariat
serantau bagi pelaksanaan Perjanjian Perakuan Bersama ASEAN bagi Profesional
Pelancongan.

Ia diikuti pertemuan bersama Wakil Dewan Parlimen Antara ASEAN, Majlis
Perniagaan ASEAN (ABAC) serta Wakil Pertubuhan Masyarakat Sivil dan Belia ASEAN.

Pada pemukiman itu, para pemimpin akan membincangkan topik Kepusatan ASEAN,
impak krisis kewangan dan kelembapan ekonomi di rantau itu dan respons ASEAN,
perubahan iklim dan pengurusan bencana, selain bertukar-tukar pandangan mengenai
isu-isu serantau dan antarabangsa kepentingan bersama.

Majlis penutupan akan berlangsung pada 7 malam, diikuti jamuan malam yang
dihoskan oleh Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.- Suraya Ahmad,
Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY