KUALA LUMPUR, 3 Dis – Datuk Seri Najib Tun Razak meminta masyarakat melibatkan diri dalam mana-mana badan sukarelawan agar tenaga mereka dapat disusun dalam pasukan secara lebih teratur.

Menurut Perdana menteri, penyertaan mereka dalam sesebuah badan sukarelawan
akan membolehkan sumbangan dan tenaga mereka disalurkan dengan berkesan.

“Bila bercakap mengenai banjir, kita perlukan bomba, polis, Jabatan
Pertahanan Awam dan tentera. Rakyat biasa juga secara sukarela perlu tampil ke
depan. Tetapi tenaga mereka harus disusun dalam pasukan secara teratur.

“Sebab kalau pergi secara bersendirian akan lebih mengucar-ngacirkan
keadaan. Kalau dalam pasukan yang ada kepimpinan, yang ada kaedah untuk
membantu, sumbangan lebih bermakna dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Aspirasi Perdana Menteri
Bersama Pasukan Sukarelawan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Pusat Dagangan
Dunia Putra hari ini.

Najib dalam pada itu turut berharap agar pasukan sukarelawan JPM akan terus
memberi sumbangan dan khidmat mereka bagi membantu orang ramai, bukan sahaja
dalam situasi tertentu seperti banjir.

“Saya harap kumpulan ini akan kekal dan terus membantu kerana kita tak pasti
dalam perubahan iklim ini, kejadian yang tidak diduga boleh berlaku, yang tidak
dapat kita andaikan.

“Kita tidak tahu, apa keadaan yang akan kita hadapi tahun ini dan tahun
mendatang,” katanya.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY