KUALA LUMPUR, 18 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyelar sikap sesetengah pihak yang sengaja mengelirukan rakyat tentang punca sebenar kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Menurutnya, terdapat pihak yang cuba menyalahkan kerajaan semata-mata walhal kerajaan sedang berusaha gigih mencari jalan mengawal kenaikan harga barangan akibat faktor luaran.

Menerusi laman blognya, beliau menjelaskan faktor luaran yang kini memberi tekanan terhadap ekonomi negara.

“Apabila harga minyak mentah dunia turun, maka pendapatan kerajaan berkurangan. Dalam konteks ini, dijangka lebih daripada RM30 billion pada tahun hadapan. Maka sukarlah untuk kerajaan melakukan campur tangan seperti menambah subsidi.

Analoginya, sekiranya kita sebagai seorang individu diturunkan atau dikurangkan pendapatannya, maka terbataslah kebolehan dan kemampuan kita untuk berbelanja. Samalah dengan kerajaan, terbatas dalam kebolehan serta kemampuan apabila pendapatan negara berkurangan,” katanya.

Perdana Menteri turut menjelaskan trend penyusutan ringgit yang selari dengan kejatuhan harga minyak global.

“Apabila pendapatan negara berkurangan, para pelabur akan menjual ringgit untuk melabur di negara yang tidak terkesan dengan kejatuhan harga minyak. Kesannya, nilai ringgit kita menguncup menyebabkan harga barangan import menjadi lebih mahal.

Jika dilihat, trend ringgit kita hampir selari dengan trend harga minyak. Namun, ada pihak yang cuba mengelirukan masyarakat tentang punca sebenar kenaikan harga barang dan kejatuhan ringgit,” tambahnya lagi.

Katanya, kerajaan telah sedaya upaya mencari jalan bagi meringankan beban rakyat.

Ia termasuk meneliti langkah-langkah bersesuaian yang perlu dan mampu diambil seperti pengumuman diskaun khas tambang pengangkutan awam, baru-baru ini. – CF (WD MY)

LEAVE A REPLY