AYER KEROH, 21 April – Tiba……… Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba untuk lawatan kerja sehari ke negeri ini.

Ketibaannya kira-kira jam 9.30 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam, disambut Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Naim Abu Bakar serta barisan EXCO kerajaan negeri.

Perdana Menteri kemudian menghadiri majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Melaka di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, sebelum dijadual merasmikan Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Bandar Hijau, Hang Tuah Jaya, sejam setengah kemudian.

Pada sebelah tengah hari, beliau akan menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 5,000 jemaah, termasuk Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob di Masjid Sayyidina Abu Bakar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), sebelum dijadual merasmikan majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel, pada jam 3.30 petang.

Selepas itu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) akan menghadiri taklimat tertutup Jentera Perhubungan BN negeri di Seri Bendahara pada jam 5 petang, sebelum dijadual pulang ke ibu negara jam 6.20 petang. – WD MY