PUTRAJAYA, 28 Jan – Datuk Seri Najib Razak tiba di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, bagi mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016.

Beliau yang tiba pada jam 11.50 pagi diiringi Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzalah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Ahmad Shahbery Chek; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pengumuman pengubahsuaian Bajet 2016 yang bermula jam 12 tengah hari ini akan turut disiarkan secara langsung menerusi beberapa siaran televisyen tempatan.

Pakar ekonomi menyokong keputusan kerajaan melaksana pengubahsuaian ini berikutan cabaran persekitaran ekonomi global ketika ini susulan kejatuhan harga minyak mentah dunia dan kelemahan ringgit.

Penjimatan dalam perbelanjaan mengurus antara yang akan diberi penekanan dalam pengubahsuaian bajet kali ini, di samping penegasan baharu bagi mengoptimumkan perbelanjaan dan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Bagaimanapun, pengurangan perbelanjaan yang berpaksikan kepentingan masyarakat luar bandar dan kesejahteraan rakyat dijangka tidak akan disentuh.

Malah, Najib sebelum ini juga memberi jaminan tidak akan ada pengumuman mengenai peningkatan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang kini ditetapkan enam peratus. – Sharini Abdulah/Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY