KUALA NERUS, 22 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
tiba di sini hari ini untuk melakukan lawatan sehari ke Pantai Timur bermula
Terengganu dengan merasmikan program Jamuan Rakyat dan persidangan perwakilan
UMNO Bahagian Kuala Nerus.

Ketibaan Najib dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini
disambut Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, exco
kerajaan negeri serta pemimpin setempat.

Sejurus tiba, Najib yang diiringi Ahmad Razif terus dibawa ke perkarangan
Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak di sini dengan menaiki beca
bagi merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Kuala Nerus.

Perdana Menteri juga dijangka merasmikan majlis Jamuan Rakyat di perkarangan
stadium tertutup di sini yang bakal dihadiri 16,000 penduduk tempatan.

Pada sebelah tengah hari, Perdana Menteri akan ke Kelantan untuk majlis
Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Lubuk Jong di Rantau Panjang.
-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY