KUALA LUMPUR, 30 Dis – Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Kapten Hasman Hussin, yang ditemui lemas selepas dihanyutkan arus banjir di Missouri, Amerika Syarikat.

Perdana Menteri menerusi entri rasmi Facebooknya, turut memaklumkan urusan membawa jenazah pulang sedang diusahakan secepat mungkin.

“Saya dimaklumkan bahawa jenazah anggota tentera kita, Kapten Hasman Hussin yang dilaporkan hilang di Missouri, Amerika Syarikat telah ditemui. Innalillah.

“Urusan bawa pulang jenazah sedang diusahakan secepat mungkin.

Ucapan takziah dan doa saya kepada keluarga Allahyarham. Al-Fatihah,” katanya.

Hasman , 43, hilang selepas kenderaan dinaikinya bersama empat rakan tentera dari negara lain dihanyutkan air deras di Missouri, Amerika Syarikat (AS), Sabtu lalu.

Mangsa sedang menjalani kursus di sebuah kem tentera AS, Fort Leonard Wood di Missouri sejak 1 Oktober lalu dan dan dijadualkan berakhir pada 15 April tahun depan.

Mereka berlima pergi bercuti Sabtu lalu sebelum kenderaan dinaiki dihanyutkan arus deras semasa mengharungi satu laluan di Pulaski County, Missouri yang dinaiki air, kira-kira jam 2 pagi. Jenazah Hasman ditemui pada jam 11 pagi waktu Missouri,

Isnin lalu namun identitinya belum dikenal pasti selepas mayat empat rakannya ditemui terlebih dulu. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY