KUALA LUMPUR, 19 Jun – Terima Kasih Beri Kepercayaan Kepada BN…….. Perdana Menteri Datuk Ser Mohd Najib Tun Razak hari ini mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang sekali lagi memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) seperti terbukti dalam keputusan pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

“Sebagai sebuah kerajaan separuh penggal yang menjadi sasaran fitnah bermotifkan politik, kami dengan merendah diri menerima kemenangan besar itu,” kata beliau dalam satu kenyataan.

BN menang dengan majoriti lebih besar di Kuala Kangsar apabila meraih majoriti 6,969 undi berbanding 1,082 undi dalam pilihan raya umum 2013 dan memperoleh majoriti 9,191 undi di Sungai Besar, berbanding majoriti 399 undi pada 2013.

Najib berkata walaupun bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadikan pilihan raya kecil itu sebagai referendum terhadap kepimpinan beliau, rakyat telah memberi keyakinan dan kepercayaan kepada BN.

“Mereka menolak pembohongan Tun Mahathir, mereka menolak gabungan bekas penentang-penentangnya yang gagal berfungsi dan mereka menolak gabungan pembangkang yang penuh kecelaruan – sebahagiannya kerana bersekongkol dengan Tun Mahathir,” katanya.

Najib juga mengucapkan terima kasih kepada semua jentera BN, yang tersusun rapi diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“BN berjaya kerana kita bekerja sebagai satu pasukan. Kita menang, dan jika kita terus bekerja keras untuk rakyat dan kekal bersatu-padu, kita akan sentiasa mencapai kejayaan,” katanya.

Najib berkata selagi beliau menjadi Perdana Menteri, kepentingan rakyat sentiasa didahulukan.

“Kita akan menunaikan janji kita kepada rakyat. Keutamaan saya terus tertumpu kepada kebajikan ekonomi, kesejahteraan sosial dan keselamatan semua rakyat Malaysia,” kata beliau. – WD MY

LEAVE A REPLY