KUALA LUMPUR, MAC 16:PNB…Permodalan Nasional Bhd (PNB) memainkan peranan penting dalam menjayakan dasar-dasar induk kerajaan sejak ditubuhkan pada 1978, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, ia bermula daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) khususnya dari aspek pengagihan kekayaan di negara ini supaya lebih adil dan saksama dan antara instrumen paling penting menjayakan dasar itu adalah PNB.

“Sebab itulah hari ini apabila kita sambut 40 tahun kejayaan PNB, kita juga menyambut kejayaan dasar-dasar induk kerajaan untuk menentukan masyarakat yang lebih adil dan saksama.

“Kemudian untuk melihat sebuah masyarakat yang lebih kukuh dan bersatu padu, kita lihat salah satu dari unsur perpaduan itu adalah apabila setiap rakyat merasakan mempunyai pemilikan yang adil dan saksama, dan tiada golongan yang rasa terpinggir.

“Ini kita telah dapat lakukan di Malaysia di mana hari ini penyertaan Bumiputera dalam bidang korporat sudah pun melebihi 23 peratus,” katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-40 PNB dan pelancaran logo baharunya.

Yang turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Najib berkata, beliau masih ingat penjelasan daripada bapanya, Tun Abdul Razak mengenai DEB pada awal tahun 70-an dalam satu analogi yang mudah.

“Kita perlu mengembangkan kek ini, apabila anda mengembangkan kek ini barulah ia boleh dikongsi tanpa mengambil hak orang lain.

“Inilah satu formula yang telah membawa kita kepada kejayaan bukan saja PNB, tetapi kejayaan dari segi mengagihkan kekayaan negara kita secara adil dan saksama,” katanya.

Pada majlis sama, Najib yang juga Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputera turut mengumumkan mengumumkan pemberian wang sagu hati sebanyak RM2,000 kepada ;ebih 1,500 kakitangan PNB sempena sambutan ulang tahun ke-40nya.

Pembayaran wang sagu hati itu akan dibuat pada Mei ini sebagai menghargai kakitangan PNB yang menjadi tulang belakang kepada institusi itu sehingga menjadi antara syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) terbesar negara. – MY WD