SUNGAI BESAR, 15 APRIL – AIR KETUM…. Pendapatan lumayan sebanyak RM525 sehari hasil penjualan air ketum menyebabkan seorang lelaki tempatan di Sekendi, di sini, `menutup mata’ atas kesalahan mengikut Akta Racun itu.

Lelaki berusia 30 tahun itu dipercayai menjual 35 botol bahan larangan berkenaan sehari dari rumahnya di Bagan Sungai Pulai, Sekendi, sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, kegiatan suspek tumpas apabila dia ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di rumahnya, pada 12 April lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa, berkata dalam serbuan pada jam 3.51 petang itu, pihaknya turut merampas 72 botol air ketum.

“Ketika ditahan, suspek dipercayai sedang menunggu pelanggannya dan terkejut sebaik menyedari kehadiran polis.

“Hasil pemeriksaan di bahagian dapur rumah berkenaan, kami menjumpai sejumlah 108 liter air ketum yang diisi di dalam 72 botol air yang setiap satunya mempunyai isi padu 1.5 liter.

“Siasatan turut mendapati suspek yang juga penganggur menjalankan aktiviti itu sejak dua tahun lalu,” katanya pada sidang media di IPD Sabak Bernam, hari ini.

Nor Azmi berkata, suspek memperoleh bekalan daun ketum pada harga RM8 hingga RM10 di Teluk Intan, Perak.

Katanya, air ketum itu diproses sendiri oleh suspek di dapur rumahnya sebelum diisi dalam tong ikan untuk dijual kepada pelanggan.

“Kami percaya air ketum berkenaan untuk pasaran sekitar Sabak Bernam. Namun, difahamkan, ada pelanggannya yang datang dari luar daerah ini seperti dari Kuala Selangor.

“Suspek direman tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan,” katanya. – WD MY