KUALA LUMPUR, 22 Mac – KETERANGAN…. Polis sudah mengambil keterangan juruterbang pesawat peribadi yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta unit kejuruteraan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang, Isnin lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya juga masih dalam proses mendapatkan laporan penuh daripada syarikat pesawat itu dan MAHB bagi merungkai punca kejadian yang mengakibatkan pemandu kereta itu maut.

“Kita buka kertas siasatan selepas menerima beberapa laporan termasuk oleh keluarga mangsa.

“Kita sudah panggil juruterbang itu, syarikat terbabit juga sedang disiasat dan kita akan siapkan kertas siasatan secepat mungkin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui sebelum solat Jumaat sempena Hari Polis Ke-212 Tahun 2019 di Masjid Salehin, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.

Sejurus selesai solat Jumaat, masjid itu turut mengadakan solat jenazah ghaib untuk mangsa yang terkorban dalam serangan ganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata pihaknya akan menyerahkan kertas siasatan berhubung kenyataan seorang aktivis politik yang ‘menyerang’ Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi laman Facebooknya kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Aktivis itu, Jufazli Shi Ahmad, dibebaskan dengan jaminan polis.

“Ada laporan tertentu yang perlu kita siapkan sebelum kertas siasatan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya. Kita akan siapkan laporan itu secepat mungkin,” katanya.

Semalam, beberapa portal media melaporkan Jufazli ditahan polis Sabtu lalu dan dijangka dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Dalam beberapa rakaman video siaran langsung Facebook itu, Jufazli dilihat menuduh Dr Mahathir melakukan pelbagai jenayah termasuk rasuah dan salah guna kuasa. -WD MY