KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Tahan….. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkemungkinan akan menahan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes enam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)  yang ditahan pada Ahad dan Isnin lepas kerana dipercayai membantu kumpulan kongsi gelap menyeludup dadah masuk ke negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata berdasarkan kepada siasatan ke atas suspek ditahan, ada kemungkinan polis akan menahan individu lain termasuk pegawai JKDM.

“Saya tidak menolak, berkemungkinan ada lagi tangkapan yang akan dibuat. Bagaimanapun biarlah polis siasat dahulu kes ini dan mereka yang terlibat tidak akan terlepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Sambutan Hari Hijau PDRM 2017 di sini, hari ini yang diadakan secara serentak di seluruh negara dan ia merupakan program julung kali diadakan.

Enam pegawai JKDM yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang ditahan polis selepas dipercayai membantu kumpulan kongsi gelap menyeludup dadah masuk ke negara ini.

Menurut laporan akhbar, pegawai-pegawai terbabit juga dipercayai turut melepaskan bahan mentah memproses dadah dan menerima imbuhan daripada kumpulan berkenaan yang aktif dalam penyeludupan serta  pengedaran dadah di negara ini sekurang-kurangnya sejak setahun lepas. – WD MY