SHAH ALAM, 2 Feb – KESELAMATAN….. Pihak Polis memberi jaminan bahawa keselamatan dan ketenteraman pengundi adalah terjamin semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata pihaknya telah melakukan persiapan awal melibatkan pelbagai aspek keselamatan dan ketenteraman awam bagi memastikan hari berkempen dan mengundi semasa PRU14 nanti berjalan lancar.

“Kita sudah lama membuat persiapan rapi dari mobilisasi anggota, kawalan lalu lintas dan rondaan dalam menghadapi semua kemungkinan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Tugas Ketua Polis Daerah Shah Alam di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam petang semalam.

Pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Baharudin Mat Taib dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Shah Alam yang baharu mulai hari ini.

Beliau menggantikan SAC Shafien Mamat yang ditukarkan ke Bukit Aman bagi menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standart (Agama dan Kaunseling).

Sebanyak 22 kerusi Parlimen dipertandingkan di Selangor termasuk 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PU14. – WD MY