Polis Beri Jaminan Keselamatan Sempena Sukan Sea17 – KPN

0
53

 

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Jaminan…… Pihak Polis memberi jaminan keselamatan tahap tertinggi kepada semua atlet terbabit serta pengunjung di setiap acara Sukan SEA 2017, bermula 19 hingga 30 Ogos ini.

Bagi mencapai matlamat itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata seramai 12,000 anggota pelbagai unit akan ditugaskan di semua lokasi pertandingan.

Beliau berkata, ia juga meliputi kawasan sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil serta hotel penginapan atlet dari semua negara yang terbabit.

“Hari ini, kita melakukan latihan amal bagi menunjukkan kesiapsiagaan anggota kita sempena berlangsungnya Sukan SEA 2017 ini. Ini latihan keenam, sebelum ini kita buat juga di Terengganu, Langkawi serta KLCC.

“Kita siap sedia dengan aspek keselamatan dan kita yakin dapat memastikan keselamatan sepanjang berlangungnya Sukan SEA,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau juga menjelaskan, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat berkaitan ancaman daripada mana-mana pihak yang cuba untuk melakukan sabotaj kepada temasya sukan itu.

Terdahulu, Khalid mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluangkan masa menyaksikan sendiri ‘Table Top dan Exercise Sukan SEA 2017’, satu pertunjukan khas bagi menguji tahap kesiapsiagaan anggota yang bertugas pada Sukan SEA ini.

Acara berlangsung di Dataran Kawad Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras. – WD MY