JOHOR BAHRU, 24 Nov – Berkas….. Pihak Polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di Bayan Baru, Pulau Pinang malam tadi yang dipercayai membuat kenyataan jelik terhadap Institusi Kesultanan Johor menerusi laman web forum.lowyat.net.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata suspek ditahan pada jam kira-kira 8.45 malam kerana membuat kenyataan jelik terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Katanya, ia susulan satu laporan diterima pada Isnin lalu jam 10.31 pagi berhubung penyalahgunaan laman web yang mengeluarkan kenyataan jelik, serta boleh menggugat keharmonian dan kesejahteraan negara.

“Suspek ditahan di Pejabat Komersil Balai Polis Bayan Baru dengan kerjasama anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

“Polis juga merampas sekeping sim kad dan sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek bagi membuat kenyataan jelik terhadap Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sekiranya disabitkan kesalahan mengikut seksyen itu boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya,” katanya. – WD MY