KLUANG, 13 April – KAWALAN….. Kementerian Dalam Negeri telah mula menggerakkan  sejumlah pegawai dan anggota polis ke kawasan yang dijangka menjadi panas pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu dibuat ekoran ramalan  polis bahawa terdapat tujuh lokasi di negara ini berkemungkinan menjadi ‘hot spot’ sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kumpulan yang ditugaskan untuk memantau keadaan akan menghantar terus hasil pemantauan dan laporan mereka kepada Bukit Aman bagi tindakan susulan.

“Arahan saya jelas agar pihak penguat  kuasa (polis) tidak memihak, mereka harus menjadi agensi yang menterjemah proses demokrasi di negara ini.

“Polis harus menumpukan perhatian terhadap kawasan yang dipanggil ‘hotspot’ dan  kawasan yang dipanggil ‘flashpoint’, selain 1,131 individu yang dikenal pasti akan membangkitkan isu,” katanya kepada media selepas Majlis Muafakat Pemimpin Bersama Rakyat di Batu 3, Kluang, hari ini.​​​​​​​

​​​​​ Ahmad Zahid berkata sebagai kerajaan sementara, pihaknya akan memastikan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang tempoh pilihan raya itu.

Ini termasuk sebelum proses penamaan calon, selepas penamaan calon, ketika berkempen, hari pengundian, serta selepas hari pengundian, katanya.

Pada majlis itu juga, beliau  merasmikan pembinaan Sekolah Agama Kerajaan Johor Fasa 5 serta menyampaikan Sijil Tawaran Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Daerah Kluang.

Mengulas mengenai pelbagai projek pembangunan dan infrastruktur yang bakal dijalankan di daerah itu,  Ahmad Zahid menyifatkan ia membuktikan keprihatinan kepemimpinan BN terhadap keperluan dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau berkata keprihatinan ADUN BN telah memberi perkhidmatan terbaik berbanding ‘orang lain’ (pembangkang) yang menjadikan Kluang tempat transit.

Timbalan Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana berjaya membina 600 sekolah agama dan dalam masa yang sama,  tidak melupakan sistem pendidikan sekolah Cina dan Tamil di negeri ini. – WD MY