PEKAN, 15 APRIL  – PARAH…..  Seorang lelaki parah pada bahagian perut dan tangan dipercayai ditetak dengan pisau panjang oleh bekas abang iparnya di Kampung Padang Buloh, semalam.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, ibu mangsa yang turut berada di tempat kejadian turut mengalami kecederaan parah di kepala dan tangan kanan.

Difahamkan ketika kejadian, adik mangsa yang berusia 20 tahun mendengar abangnya meminta tolong di luar rumah, sebelum dia bersama ibu pergi ke luar melihat kejadian.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Amran Sidek, berkata kejadian disaksikan adik mangsa berusia 20 tahun yang mendakwa suspek mula menyerang abangnya yang duduk di luar pintu belakang rumah mereka.

“Selepas terdengar jeritan mangsa, ibunya segera turun untuk melihat apa yang sedang berlaku, sebelum turut diserang oleh suspek yang membawa sebilah pisau,” katanya.

Beliau berkata, suspek bertindak melarikan diri dengan sebuah motosikal dan meninggalkan mangsa yang berlumuran darah.

“Adik mangsa kemudian menghubungi pihak polis dan ambulans. Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan masih disiasat dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan. – WD MY