MELAKA, 28 Okt – Buka Tiga Kertas Siasatan….. Pihak Polis membuka tiga kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan, termasuk dadah ke atas seorang lelaki dipercayai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa memukul isterinya selepas tersebar di media sosial Kata┬áKetua Polis Negara.

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya kini sedang mengesan suspek berusia 30-an itu yang turut didapati seorang kakitangan kerajaan yang bermasalah.

“Polis sudah mulakan siasatan dan ada tiga laporan diterima terhadap dia (suspek) yang kini dipercayai menghilangkan diri sejak lebih dua bulan lalu.

“Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2016 di Hotel Plaza Ramada di hari ini.

Sementara itu, Khalid berkata, penganjur Bersih 5.0 bakal berdepan tindakan undang-undang jika gagal mematuhi peraturan dengan mengemukakan notis bagi mengadakan siri jelajah di seluruh negara yang dijadual pada 19 November ini.

Katanya, notis sepatutnya dikemukakan dalam tempoh 10 hari sebelum siri jelajah dilancarkan dan pihak polis masih belum menerima sebarang makluman daripada pihak penganjur setakat semalam.

“Saya berbuih mulut saya cakap (ikut undang-undang). Jelajah itu menuntut mereka (Bersih) mematuhi peraturan Akta Perhimpunan Aman 2012, apa susah sangat.

“Saya senang saja…tak mahu ikut peraturan, bersedialah dengan tindakan undang-undang. Kita bukan negara koboi, kita ada undang-undang,” katanya. – WD MY