GEORGETOWN, 6 Okt – KESAN…… Pihak polis sedang mengesan tiga suspek rompakan jongkong emas dan pelbagai barangan kemas bernilai RM1.9 juta di Jalan Siram, Butterworth, Isnin minggu lalu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zainol Samah, berkata semua suspek terbabit sudah pun dikenalpasti dan masih diburu termasuk seorang daripadanya cedera akibat terkena tembakan ketika melarikan diri ketika kejadian.

“Seorang suspek mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri akibat terkena tembakan yang dilepaskan oleh pengawal keselamatan kilang emas berkenaan ketika cuba melarikan diri selepas merompak beg yang berisi jongkong dan barangan emas di tempat letak kenderaan.

“Kita percaya suspek ketika ini cuba untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital, malah dua lagi suspek yang menetap di Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan yang dipercayai ahli kumpulan terbabit masih diburu bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut pihaknya menemui kenderaan yang dinaiki suspek di tempat letak kenderaan di sebuah pangsapuri dekat Ampang Jajar, Butterworth dalam keadaan rosak selepas merempuh sebuah lori ketika melarikan diri.

“Pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit mendapati nombor pendaftaran yang digunakan adalah palsu selain kenderaan suspek ditemui kira-kira empat kilometer (km) dari lokasi kejadian.

“Susulan daripada kejadian rompakan itu, kita sudah menahan 11 suspek di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan yang dipercayai ahli kumpulan perompak itu dan kita turut merampas dua jongkong emas, sebahagian barangan kemas serta sejumlah wang tunai dipercayai hasil rompakan,” katanya.

Semua 11 suspek yang berusia 26 hingga 45 tahun itu direman sehingga 10 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, tiga suspek bersenjatakan kapak dan besi melarikan beg berisi jongkong emas dan barangan kemas, yang dianggarkan seberat 11 kilogram, di sebuah kilang memproses emas.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi balai polis berhampiran. – WD MY