KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Cari…… Pihak Polis Kuala Lumpur sedang mengesan empat lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kes bunuh seorang lelaki yang ditembak di Jalan Pelaga, Taman Cheras, di sini, pada 19 Ogos lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata semua lelaki dikenal pasti berada di lokasi kejadian yang juga rumah mangsa berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman itu.

“Sebelum itu, kita sudah menahan empat lelaki dan dua wanita, termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) di sekitar Cheras susulan penemuan mayat mangsa pada 21 Ogos lalu, manakala seorang lagi menyerah diri di Dengkil, semalam.

“Tangkapan itu membawa kepada penemuan sepucuk pistol semi auto jenis Smith&Wesson Springfield, dipercayai digunakan suspek ketika kejadian selain tiga kelopak peluru dan 30 butir peluru hidup 9 milimeter (mm).

“Semua tangkapan berusia 41 hingga 55 tahun direman sehingga 29 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pada jam 8.30 malam 21 Ogos lalu, satu mayat hampir reput dibalut dengan cadar dan langsir ditemui di belakang sebuah kereta jenis Toyota Hilux yang ditinggalkan di Jalan Serai Wangi, kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Amar Singh berkata, pemeriksaan pada mayat menemui enam kesan tembakan pada badannya, selain kulit pada semua 10 jarinya disiat, dipercayai bagi menghapuskan cap jari.

“Mangsa adalah bekas anggota kongsi gelap, begitu juga dengan suspek. Berdasarkan siasatan awal, motif kejadian dipercayai kerana salah seorang suspek yang marah dengan mangsa kerana mengambil wang hasil perniagaannya beberapa tahun lalu.

“Mangsa dipercayai mati pada 19 Ogos, iaitu dua hari sebelum mayatnya ditemui dan kejadian berlaku di dalam rumahnya,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY