SUBANG JAYA, 24 Jan – KESAN…. Pihak Polis menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam kes memukul seorang pemandu kereta PERODUA Myvi di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari, berkata ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun ditahan ketika menyerah diri di balai polis semalam.

“Ketiga-tiga suspek ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan selama empat hari, sehingga Jumaat ini.

“Kita sudah menerima laporan daripada pemandu Myvi manakala penunggang motosikal yang dilanggar oleh pemandu Myvi terbabit belum membuat laporan kerana masih dirawat di Hospital Serdang,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi membantu siasatan kes sama, Azlin berkata, polis juga sedang mengesan tiga lagi individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan.

Katanya, ketiga-tiga lelaki terbabit diminta tampil untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, mangsa berusia 39 tahun itu ditahan oleh sekumpulan lelaki yang marah selepas kereta dipandunya melanggar seorang penunggang motosikal.

Kemalangan berlaku di Jalan Batu 13 kira-kira pada jam 7 malam, menyebabkan penunggang motosikal cedera di bahagian rusuk dan kepala.

Pemandu kereta itu kemudian diserang oleh beberapa orang lelaki, barang miliknya dan dokumen peribadi turut hilang dalam kejadian berkenaan.

Mangsa dipercayai diserang menggunakan pelbagai objek termasuk topi keledar dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Serdang. – WD MY