KUALA LUMPUR, 5 SEPT – KESAN…. Pihak Polis masih mengesan suspek utama kes merusuh di Arena All Stars, Ampang, pada malam Sabtu lalu, dikenali sebagai Farhash Wafa Salvador, 37, yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada masa ini, pihak polis mengarahkan Farhash untuk tampil segera ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, bagi membantu siasatan kes menyerang seorang jurulatih tinju, di kompleks sukan di Taman Dagang Permai, Ampang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata sehingga kini tiga suspek sudah menyerah diri di IPD Ampang.

“Ketiga-tiga mereka yang berusia antara 26 hingga 35 tahun dan bekerja dalam bidang kejurulatihan tinju Muay Thai, menyerah diri sekitar jam 11.40 pagi tadi.

“Kesemua mereka akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata salah seorang suspek yang ditahan didapati mempunyai beberapa rekod jenayah dan dadah serta disenaraikan sebagai dikehendaki polis oleh IPD Cheras berhubung kes dadah.

“Dua lagi tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, namun siasatan lanjut bagi mengesan semua suspek yang terbabit masih dilakukan,” katanya.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, salah seorang daripada sekumpulan antara 12 hingga 14 lelaki dipercayai menolak muka mangsa berusia 29 tahun yang sedang menguruskan perlawanan tinju ‘Muay Thai’ anak didiknya.

Susulan kejadian itu, pengurusan kompleks sukan terbabit meminta mangsa dan suspek beredar dari kawasan berkenaan.

Mangsa kemudian menuju ke arah tempat letak motosikal di luar kompleks sukan sebelum diserang sekumpulan 10 lelaki yang bersenjatakan pisau, topi keledar dan kerusi. – WD MY