HONG KONG, 21 OKT – RUSUHAN….. Polis rusuhan dan penunjuk perasaan berbalas serangan gas pemedih mata dan bom petrol, hari ini, selepas perarakan haram anti kerajaan disertai puluhan ribu penduduk.

Difahamkan, keadaan bertukar menjadi huru-hara dengan ratusan kedai dan bank China diserang selain stesen kereta api.

“Warga Hong Kong tidak menyerahkan hak tunjuk perasaan dengan mudah, jumlah penyertaan hari ini melebihi jangkaan.

“Selagi orang ramai keluar dalam jumlah besar, kita selamat dan boleh terus berjuang,” kata salah seorang penunjuk perasaan yang tidak bekerja, Daniel Yeung.

Penunjuk perasaan membaling bom petrol ke arah balai polis Tsim Sha Tsui di semenanjung Kowloon, selepas polis melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk meleraikan mereka.

Ada juga membina penghadang berapi di kawasan membeli belah utama di daerah Kowloon, Jalan Nathan, ketika polis perusuh mara ke arah mereka sambil melepaskan gas pemedih mata.

Polis menggunakan beberapa trak meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan dengan melepaskan tembakan warna biru ke arah orang ramai bagi mengenalpasti penunjuk perasaan.

Di sepanjang laluan perarakan, penunjuk perasaan membakar dan merosakkan beberapa stesen kereta api dan ratusan kedai dengan membaling barangan ke jalan raya.

Beberapa bank China turut menjadi sasaran. – WD MY