KUALA LUMPUR, NOVEMBER 20: EVO2….Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyifatkan filem Polis Evo 2 yang hangat diperkatakan tidak mengandungi sebarang mesej penghinaan kepada Islam.

Sebaliknya, filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew itu lebih mengenengahkan fahaman fanatik sesat yang “memberi ancaman kepada negara”.

“Pun begitu, kami mencadangkan supaya dilantik konsultan syariah agar perjalanan satu-satu filem yang membawakan tema sebegini, dapat mengelakkan sebarang isu-isu sensitif melibatkan agama.

“Sebaiknya, rujukan kepada konsultan Syariah dilakukan sejak dari awal pembikinan skrip sehinggalah selesai penggambaran keseluruhan filem.

“Kami juga mencadangkan kepada produksi agar meletakkan penjelasan pada awal filem atau pada adendum berkenaan kesamaran dalam jalan cerita (mungkin sengaja diletakkan pada subteks) yang mungkin terdedah kepada salah faham terhadap agama,” kata kenyataan yang dimuatkan di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan semalam.

Sebelum ini, Polis Evo 2 mencetuskan rasa kurang senang sesetengah pihak termasuk pemimpin politik PAS dan mufti Perlis.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Riduan Mohd Nor menyifatkan watak penjahat berserban yang dipaparkan dalam filem berkenaan boleh menjejaskan imej Islam.-MY WD